Tuesday, 27 September 2011

Peranan "MALAY FORUM" untuk "KEMERDEKAAN" - Pemikiran & Tindakan Dalam Membentuk & Membangun Negara


Banyak pihak yang berperanan dalam perjuangan kearah Kemerdekaan Malaya & kemudiannya Malaysia. Salah satu kumpulan yang terdiri dari pegawai-pegawai muda Melayu yang dinamakan "Malay Forum" bergerak tanpa banyak keriuhan. Sungguhpun telah mendapat pendidikan tinggi di United Kingdom dan berkhidmat pula dengan Kerajaan yang pada waktu itu masih di bawah jajahan British, mereka ini berjiwa nasionalis dan bersemangat tinggi menentang penjajahan British. Mereka bergerak secara tersendiri, banyak menggunakan akal fikiran menyusun strategi serta bergiat "di sebalik tirai", banyak membantu dan bergerak bersama Tun Abdul Razak, dan kemudiannya bersama-sama dibelakang Tunku Abdul Rahman. "Malay Forum" ini boleh ditakrifkan sebagai kumpulan pemikir "think tank" bagi Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman. Mereka ini jugalah yang setelah negara mencapai kemerkedaan diberi kepercayaan oleh kepemimpinan politik negara memegang jawatan-jawatan terpenting dalam negara.
Suatu siri peristiwa yang tidak tercatit dalam buku-buku sejarah, adalah perbincangan yang dilakukan oleh "ahli-ahli" Malay Forum pada tahun-tahun sebelum kemerdekaan. Perbincangan-perbincangan tersebut diketuai oleh Tun Abdul Razak, termasuk semasa beliau menjawat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun-tahun awal 1950an, dan Tan Sri Abdul Kadir pula adalah Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; Pejabat Kerajaan Negeri Pahang pada waktu itu adalah di Kuala Lipis. Satu keputusan penting adalah usaha mereka berjumpa dan mengusulkan kepada YM Tunku Abdul Rahman mengetuai UMNO semasa Dato' Onn melepaskan jawatan Presiden UMNO, dan seterusnya menerajui perbincangan dengan Kerajaan British untuk Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Satu lagi usaha penting adalah memorandum bertarikh 6 Ogos 1956 mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Memorandum yang ditandatangani 24 anggota Malay Forum itu ditujukan kepada Pengerusi, Pesuruhjaya Perlembagaan yang dilantik oleh Kerajaan British. Antara mereka yang menandatangani surat dan memorandum ini ialah Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Raja Tun Mohar Badiozaman, Tun Hamdan Tahir, Tan Sri Abdullah Ayub, Tan Sri Dol Ramli, Tan Sri Yaacob Abdul Latif, Tun Syed Nasir Ismail, Tan Sri Abdul Jamil Rais dan Dato' Sujak Rahiman.
Meskipun sedang berkhidmat dalam pelbagai jabatan di bawah pentadbiran British ketika itu, mereka tidak gentar akan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi dengan menandatangani memorandum berupa desakan tersebut.

Hari 11 November 1979 Dalam Sejarah INTAN

PERASMIAN DEWAN TAN SRI ABDUL KADIR SHAMSUDDIN-Tarikh Peristiwa pada 10-11-1979

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) telah ditubuhkan oleh Kerajaan bertujuan untuk meningkatkan taraf dan kemampuan latihan dalam sektor awam supaya dapat mewujudkan satuPentadbiran Awam yang cekap dan lebih dinamis bagi menghadapi masa depan negara. Dalam usaha INTAN untuk mencapai matlamat tersebut, pihak pengurusan INTAN telah menyediakan Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin sebagai tempat mengadakan latihan ataupun kursus kepada kakitangan di negara ini. Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin yang tersergam indah telah dirasmikan pada hari ini 10 November 1979 oleh Y.B. Puan Sri Zainab bt Dato’ Abu Bakar.

Upacara perasmian ini juga telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Y.B. Tan Sri Abdullah b. Ayub dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Y.B. Tan Sri Hashim Aman. Penamaan Dewan ini sebagai Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin adalah untuk mengenangkan jasa Aallahyarham Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin bekas Ketua Setiausaha Negara. Dewan ini adalah salah satu projek pembangunan INTAN di bawah rancangan Malaysia Ketiga. Projek ini telah dikelolakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia dan siap dibina dengan perbelanjaan RM1.5 juta.

Dewan ini boleh menampung seramai 500 orang. Kemudahan-kemudahan lain di Dewan ini ialah ruang pejabat, bilik kuliah dan bilik perbincangan kumpulan. Kemudahan-kemudahan seperti ini harus menggalakkan lagi bukan saja kegiatan-kegiatan latihan malah aktiviti seni dan sukan di INTAN. Sempena dengan perasmian tersebut beberapa program khas telah diadakan seperti pameran mengenai kegiatan-kegiatan INTAN sejak ianya tertubuh dalam tahun 1972, persembahan seni muzik dan nyanyian-nyanyian. Sesungguhnya dengan perasmian Dewan Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, diharap INTAN akan bergerak dan berkembang maju sebagai sebuah Institusi Latihan yang boleh dibanggakan oleh generasi-generasi akan datang.



Link Arkib Negara