Bintang Berkilau di Langit Kecemerlangan
(Tan Sri Abdul Kadir bin Shamsuddin)
Ketika langit tanah air dibakar api nasionalisma
Ribuan putra-putri bangsa menggenggam baranya,
Kehidupan di bawah penjajahan menggerakkan
Kebangkitan anak watan berjuang menentang.
Seorang anak muda yang sederhana sifatnya
Tenang dan pendiam tapi tegas bersemangat
Terjulang dipercikan ombak suara kemerdekaan
Membina diri dengan ilmu dan keyakinan.
Dia tidak ikut dalam gemuruh teriakan ‘Merdeka’
Dan tidak keluar mengarak bendera di jalan raja
Tapi menekuni tugasnya di belakang tabir
Kegigihan seorang nasionalis menjadi pentadbir.
Dia berada pada setiap rundingan kenegaraan
Menentukan zaman peralihan menjelang kemerdekaan
Mengukuhkan pentadbiran anak-anak watan
Suatu janji dan amanah negara masa depan.
Ketika jam pejabat selesai dia masih bekerja
Keliling sepi tapi failnya memenuhi meja
Sayup-sayup suara azan bersayap di angin lalu
Dia solat maghrib diantara timbunan kertas dan buku.
Kegigihan dan kebijaksanaan mengangkat namanya
Terpilih menjadi setia usaha bersama
Misi rombongan merdeka ke London
Pimpinan YTM Tunku Abdul Rahman.
Rombongan Merdeka dihantar oleh ribuan rakyat
Pulang menjulang kemenangan negara berdaulat
Dia terus bekerja tanpa suara keluhan penat
Sebuah cinta untuk negara di dadanya tersemat.
Itulah Tan Sri Abdul Kadir bin Shamsuddin
Putera dari Kajang Negeri Selangor D.E.
3 November 1920 dia dilahirkan
8 November 1978 dia dimakamkan.
Sebagaimana sejarah tidak pernah berhenti
Demikianlah dia mengalir mengikut arus gelombong
Menangani persoalan pembentukan negara Malaysia
Yang mencakar pergolakan politik Serantau
Selat Melaka pun dibakar api konfrantasi
Lagu bangsa dua sebaya pun berhenti menyanyi
Tapi air dicincang takkan putus
Biduk lalu kiambang pun bertaut.
Tan Sri Abdul Kadir ikut menyumbangkan
Perbincangan keamanan silatulrahim cara Melayu
Perundingan dengan Soekarno di Manila dan Tokyo
Lalu berakhir di Bangkok demi semangat Malindo.
Luka di tanah air sendiri suatu titik hitam
Di sana sini lidah api tinggi menjulang
Merah Sungai Klang merah baju si anak malang
Perisitiwa 13 Mei yang sangat menyedihkan.
Tan Sri Abdul Kadir dengan tugas yang diamanahkan
Ketua Pentadbir Hal Ehwal Awam
Dipertanggungjawabkan memulihkan keamanan
Suatu agihan kuasa terjulang di jemala
Melampaui kuasa Ketua Setiausaha Negara
Dalam Majlis Gerakan Negara yang disebut MAGERAN.
Sumbangan demi sumbangan terus terukir
Dialah yang membentuk Jabatan Perkhidmatan Awam
Sebagai Ketua Setiausaha Negara diberikannya imej
Pengguntingan segala red tape peraturan birokratik
Ujudlah sistem ‘feedback’ dan ‘monitoring’
Atasan dan bawahan satu barisan berjalan seiring.
Dia mendekati kehidupan rakyat luar bandar
Mengenai suka duka impian harapan bangsa
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang
Pembangunan Negara
Yang Menggariskan dasar-dasar ekonomi baru
Digabungkan Syarikat Kerjasama Peladang dengan
Persatuan Peladang yang selama ini berasingan.
Meskipun tegas dalam menjalankan tugas negara
Hatinya mulia dan sifatnya selalu terbuka
Sebagaimana rapatnya dengan kehidupan rakyat
Begitulah akrabnya dengan pucuk kepimpinan negara
Sehingga segala suatu terlaksana lancar
Tersempurnalah tugas yang selalu mencabar.
Allahyarham Tan Sri Kadir bin Shamsuddin
Sebutir permata ditatahkan
Di kerusi Perkhidmatan Awam
Terlalu banyak untuk dideretkan sumbangan
Satu demi satu bagaikan bintang-bintang
Berkilauan bersinar di langit kecemerlangan.
Malam bersejarah ini
Namanya terpahat dan terakam
Sebagai lambang dan ilham
Kemegahan Perkhidmatan Awam.
Usman Awang
Petaling Jaya, Oktober 1991