Tuesday 27 September 2011

Peranan "MALAY FORUM" untuk "KEMERDEKAAN" - Pemikiran & Tindakan Dalam Membentuk & Membangun Negara


Banyak pihak yang berperanan dalam perjuangan kearah Kemerdekaan Malaya & kemudiannya Malaysia. Salah satu kumpulan yang terdiri dari pegawai-pegawai muda Melayu yang dinamakan "Malay Forum" bergerak tanpa banyak keriuhan. Sungguhpun telah mendapat pendidikan tinggi di United Kingdom dan berkhidmat pula dengan Kerajaan yang pada waktu itu masih di bawah jajahan British, mereka ini berjiwa nasionalis dan bersemangat tinggi menentang penjajahan British. Mereka bergerak secara tersendiri, banyak menggunakan akal fikiran menyusun strategi serta bergiat "di sebalik tirai", banyak membantu dan bergerak bersama Tun Abdul Razak, dan kemudiannya bersama-sama dibelakang Tunku Abdul Rahman. "Malay Forum" ini boleh ditakrifkan sebagai kumpulan pemikir "think tank" bagi Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman. Mereka ini jugalah yang setelah negara mencapai kemerkedaan diberi kepercayaan oleh kepemimpinan politik negara memegang jawatan-jawatan terpenting dalam negara.
Suatu siri peristiwa yang tidak tercatit dalam buku-buku sejarah, adalah perbincangan yang dilakukan oleh "ahli-ahli" Malay Forum pada tahun-tahun sebelum kemerdekaan. Perbincangan-perbincangan tersebut diketuai oleh Tun Abdul Razak, termasuk semasa beliau menjawat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun-tahun awal 1950an, dan Tan Sri Abdul Kadir pula adalah Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; Pejabat Kerajaan Negeri Pahang pada waktu itu adalah di Kuala Lipis. Satu keputusan penting adalah usaha mereka berjumpa dan mengusulkan kepada YM Tunku Abdul Rahman mengetuai UMNO semasa Dato' Onn melepaskan jawatan Presiden UMNO, dan seterusnya menerajui perbincangan dengan Kerajaan British untuk Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Satu lagi usaha penting adalah memorandum bertarikh 6 Ogos 1956 mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Memorandum yang ditandatangani 24 anggota Malay Forum itu ditujukan kepada Pengerusi, Pesuruhjaya Perlembagaan yang dilantik oleh Kerajaan British. Antara mereka yang menandatangani surat dan memorandum ini ialah Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin, Raja Tun Mohar Badiozaman, Tun Hamdan Tahir, Tan Sri Abdullah Ayub, Tan Sri Dol Ramli, Tan Sri Yaacob Abdul Latif, Tun Syed Nasir Ismail, Tan Sri Abdul Jamil Rais dan Dato' Sujak Rahiman.
Meskipun sedang berkhidmat dalam pelbagai jabatan di bawah pentadbiran British ketika itu, mereka tidak gentar akan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi dengan menandatangani memorandum berupa desakan tersebut.