Sunday 31 January 2016

SEORANG PENDUKUNG PENTING DASAR EKONOMI BARU NEGARA

Mengenang kembali 1978.
Dr. Shamsul Bahar bin Abdul Kadir.

Petikan dari Utusan Malaysia, 11 November 1978
(bahan asal dari Arkib Negara Malaysia, saperti diterbitkan di:


Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin telahpun kembali ke alam baqa’ petang Rabu lalu setelah menghabiskan lebih separuh dari usianya kepada kerajaan dan negara.

Dia adalah seorang pendukung utama yang telah memainkan banyak peranan penting kepada negara terutama ketika Malaysia memulakan pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ketika itu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir merupakan penggerak utama pembangunan melalui jentera pentadbiran kerajaan di mana Allahyarham ketika itu menjadi Ketua Setiausaha Negara.

Seorang anak jati yang dilahirkan di Kajang pada 3 November 1920, Tan Sri Kadir mendapat pelajaran di Raffles College, Singapura pada pertengahan tahun tiga puluhan.

Allahyarham ketika mendaki usia remajanya merupakan seorang pelajar pintar dan paling luar biasa kebolehannya bilamana dalam tahun 1947 Tan Sri Kadir berjaya mendapat anugerah Biasiswa Queen (Queen’s Scholarship) untuk mengikuti pengajian undang-undang di Gray’s Inn University, Bristol, England.

Allahyarham kemudian berjaya meneruskan pengajian sarjananya di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat, Yale University.

Sumbangan bakti yang pernah diberikannya kepada negara ketika usianya tidak saja meliputi perkhidmatan kerajaan malah dalam badan-badan sukarela juga pertubuhan-pertubuhan masyarakat.

Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin menghabiskan 37 tahun dari 58 tahun usianya untuk berkhidmat dengan kerajaan dan dalam tempoh itu pengalamanya dalam perkhidmatan kerajaan memang tidak dapat dinafikan sebagai paling banyak.

Dari memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Pos dalam tahun 1939 , Tan Sri Kadir  memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu pada tahun 1948 dan memasuki perkhidmatan MCS empat tahun kemudiannya.

Pada tahun 1952 Allahyarham dilantik menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dilantik menjadi Penolong Setiausaha Pertahanan dalam tahun 1955 dan kemudiannya diberi tugas lebih penting lagi dalam tahun 1957 bila dilantik sebagai Setiausaha Jemaah Menteri.

Dari sini namanya terus memuncak popular di kalangan pentadbir kerajaan dan para menteri dan terus dilantik memegang jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan dalam tahun 1962.

Allahyarham diberikan tugas lebih penting lagi lima tahun kemudiannya bila dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Darurat

Ketika negara melalui pemerintahan darurat dalam tahun 1969, Allahyarham dilantik sama duduk sebagai ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di mana beliau diberi tugas sebagai Ketua Pentadbir Hal Ehwal Awam.

Kemuncak perkhidmatannya dengan kerajaan tiba pada 1 Disember 1969 bila Allahyarham dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara, satu jawatan paling tinggi dalam Perkhidmatan Awam.

Sebagai Ketua Setiausaha Negara ketika kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baru negara sesudah meletusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Tan Sri Abdul Kadir memainkan peranan penting daam mempastikan dasar itu bergerak lancar dan memuaskan.

Ketika itu konsep Perkhidmatan Awam mula menghadapi perubahan besar di mana setiap kakitangan dan para pentadbir kerajaan di semua peringkat dikehendaki memberi keutamaan kepada pembangunan dan kepentingan rakyat dari kepentingan diri sendiri.

Kepadanya mutu perkhidmatan awam yang tinggi dan cekap adalah amal penting dicapai dulu dalam mempastikan setiap matlamat Dasar Ekonomi Baru segera terlaksana.

Dan kerana itulah Allahyarham cepat bertindak memperbesarkan lagi Institut Tadbiran Negara di Petaling Jaya supaya ianya benar-benar dapat mengeluarkan tenaga pentadbir yang berkebolehan.

Ketika mula menduduki kerusi Ketua Setiausaha Negara bulan Disember 1969, Tan Sri Kadir Shamsuddin awal-awal lagi mengingatkan kakitangan kerajaan supaya mengurangkan “red-tape” dalam urusan harian mereka.

Apa yang penting padanya bahawa setiap kakitangan kerajaan mestilah bekerja bertungkus-lumus melaksanakan setiap projek secepat mungkin.

Amaran demi amaran pernah diberikannya kepada kakitangan kerajaan supaya membuang sikap angkuh, berdamping rapat dengan rakyat dan ahli-ahli politik di samping amaran untuk bertindak ke atas pegawai-pegawai yang cuai dan tidak mematuhi peraturan.

Begitupun, Tan Sri Kadir Shamsuddin adalah seorang ketua pentadbir kerajaan yang disayangi oleh rakan-rakan dan kakitangan bawahannya.

“Allahyarham mudah didekat, mudah dihubungi dan dirunding pada bila-bila masa untuk kakitangan-kakitangan yang menghadapi berbagai masalah,” kata bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Ibrahim Ali.

Perdana Menteri Datuk Hussein Onn sendiri mengakui ketokohan Allahyarham sebagai seorang pentadbir yang telah memberi banyak sumbangan kepada negara terutama dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan dan dalam Perkhidmatan Awam Kerajaan.

Di samping hemah Allahyarham yang tinggi, menurut Datuk Hussein lagi, pemergian Tan Sri Kadir Shamsuddin merupakan satu kehilangan besar kepada negara yang sukar dilupai.
Sumbangan paling besar yang pernah diberikan oleh Allahyarham kepada negara yang rasanya sukar untuk diupakan oleh setiap pencinta tanahair ialah tentang peranannya dalam turut membawa pendamaian antara Malaysia dan Indonesia dalam tahun 1966.

Tenaga

Tan Sri Kadir Shamsuddin merupakan tenaga utama negara yang telah pergi ke depan merundingkan soal pendamaian kedua buah negara berbangkit dari isu penubuhan Malaysia.

Allahyarham adalah orang paling kanan yang telah menyusun rangka persahabatan semula kedua negara, dan telah mengetuai rombongan 13 orang pegawai Malaysia ke Indonesia dalam bulan Oktober 1966 untuk membuat perbincangan awal mengenai pendamaian.

Allahyarham juga merupakan orang yang bertanggungjawab menandatangani “rekod persetujuan dan pengertian bersama” Malaysia-Indonesia bulan September tahun yang sama di ibu negara Kuala Lumpur ketika pemulihan semula persahabatan Malaysia-Indonesia dirintis.

Tan Sri Kadir terus bergerak cergas memainkan peranan penting dengan menyertai rundingan damai dengan Allahyarham Presiden Sukarno di Manila, Tokyo dan Bangkok di mana rombongan Malaysia diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Peranannya dalam membawakan kemerdekaan kepada tanahair juga adalah tidak kurang penting dulu di mana Allahyarham merupakan Setiausaha Bersama kepada Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu untuk rundingan mencapai kemerdekaan di London dalam tahun 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putera.

Kebijaksanaan dan kepintarannya dalam bidang perkhidmatan awam dan undang-undang memang mendapat perhatian dari pihak kerajaan ketika itu di mana Allahyarham mewakili Majlis Raja-Raja Melayu ketika menyertai rombongan merundingkan kemerdekaan dulu.

Harapan

Dalam penubuhan Malaysia pula di mana tiga buah negeri lain, Singapura, Sabah dan Sarawak telah mengambil keputusan untuk memasuki Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin sekali lagi membuktikan kehandalannya dalam rundingan peringkat tinggi dan peringkat antarabangsa bilamana Allahyarham dipilih sama sebagai anggota perundingan kerajaan.

Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin adalah juga anak jati yang menjadi harapan dan kesayangan seluruh masyarakat keturunan Minang di tanahair.

Allahyarham telah mengambil peranan penting dalam mengasaskan sebuah penubuhan masyarakat Minang - Persatuan Perpaduan Semangat Bersatu sepuluh tahun dulu dengan memegang jawatan Yang Dipertua persatuan itu sehingga sekarang.

“Allahyarham menjadi tempat harapan anak-anak Minang terutamanya di Selangor dan tidak henti-henti memberi apa jua bantuan kepada kami bila-bila masa,” kata Setiausaha persatuan itu, Encik Rashid Idris.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Salleh pula mengakui kehandalan Allahyarham Tan Sri Kadir terutama dalam pentadbiran Perkhidmatan Awam. “Allahyarham adalah seorang pentadbir terkemuka yang setiap jasa dan sumbangannya akan kekal dalam ingatan setiap kakitangan Perkhidmatan Awam,” ujarnya.

Kini, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin telah pergi meninggalkan negara dan bangsanya yang tercinta setelah puas menabur bakti sepanjang hayatnya.

Namanya tetap akan tercatit dalam sejarah perkhidmatan kerajaan dan pasti akan dikenang oleh negara.